Kelebihan Para Hafiz dan Hafizah



Perkara yang sangat mulia yang setiap Muslim ingin lakukan: menghafaz Al-Quran Al-Karim. Berikut adalah beberapa kelebihan para hafiz dan hafizah di sisi Allah SWT.


1. Mereka adalah keluarga Allah SWT

Sabda Rasulullah S.A.W:
Daripada Anas R.A., Ia berkata bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda: "Sesungguhnya Allah itu mempunyai keluarga yang terdiri daripada manusia." Kemudian Anas bertanya: "Siapakah mereka itu wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: "Iaitu ahli Quran (orang yang membaca atau menghafal Al-Quran dan mengamalkan isinya). Mereka adalah keluarga Allah dan orang-orang yang istimewa bagi Allah."


2. Ditempatkan di Syurga yang paling tinggi

Sabda Rasulullah S.A.W:
Daripada Abdullah Bin Amr Bin Al Ash R.A. daripada Nabi S.A.W., baginda bersabda: "Di akhirat nanti para ahli Al-Quran diperintahkan: Bacalah dan naiklah ke syurga. Dan bacalah Al-Quran dengan tartil seperti engkau membacanya dengan tartil pada waktu di dunia. Tempat tinggalmu di syurga berdasarkan ayat paling akhir yang engkau baca."


3. Ahli Al-Quran adalah orang yang arif di Syurga

Sabda Rasulullah S.A.W:
Daripada Anas R.A., bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Para pembaca Al-Quran itu adalah orang-orang yang arif di antara penghuni syurga."

4. Menghormati orang yang menghafal Al-Quran bererti mengagungkan Allah SWT

Sabda Rasulullah S.A.W:
Daripada Abu Musa Al Asya'ari R.A. Ia berkata bahawasanya Rasulullah S.A.W. bersabda: "Di antara perbuatan mengagungkan Allah adalah menghormati orang Islam yang sudah tua, menghormati orang yang menghafal Al-Quran yang tidak berlebih-lebihan dalam mengamalkan isinya dan tidak membiarkan Al-Quran tidak diamalkan, serta menghormati kepada penguasa yang adil."

5. Hati penghafal Al-Quran tidak diseksa

Sabda Rasulullah S.A.W:
Daripada Abdullah Bin Mas'ud R.A., daripada Nabi S.A.W., baginda bersabda: "Bacalah Al-Quran kerana Allah tidak akan menyeksa hati orang yang hafal Al-Quran. Sesungguhnya Al-Quran ini adalah hidangan Allah, siapa yang memasukinya ia akan aman. Dan barangsiapa yang mencintai Al Quran maka hendaklah ia bergembira."

6. Mereka lebih berhak menjadi imam dalam solat

Sabda Rasulullah S.A.W:
Daripada Ibnu Mas'ud R.A., Daripada Rasulullah S.A.W., baginda bersabda: "yang menjadi imam dalam solat suatu kaum hendaknya yang paling pandai membaca Al Quran."

7. Disayangi Rasulullah S.A.W

Sabda Rasulullah S.A.W:
Daripada Jabir Bin Abdullah R.A. bahawa Nabi S.A.W menyatukan dua orang daripada orang-orang yang gugur dalam perang uhud dalam satu liang lahad. Kemudian Nabi S.A.W. bertanya, "Dari mereka berdua siapakah paling banyak hafal Al Quran?" Apabila ada orang yang dapat menunjukkan kepada salah satunya, maka Nabi S.A.W memasukkan mayat itu terlebih dahulu ke liang lahad."

8. Dapat memberikan syafaat kepada keluarga

Sabda rasulullah s.a.w.:
Daripada Ali Bin Abi Thalib Karramallahu Wajhah,  baginda bersabda: "Barangsiapa membaca Al-Quran dan menghafalnya, maka Allah akan memasukkannya ke dalam Syurga dan memberikannya hak syafaat untuk sepuluh anggota keluarganya di mana mereka semuanya telah ditetapkan untuk masuk neraka."

9. Penghafal Al-Quran akan memakai mahkota kehormatan

Sabda Rasulullah S.A.W:
Daripada Abu Hurairah R.A., daripada Nabi S.A.W., baginda bersabda: "Orang yang hafal Al-Quran pada hari kiamat kelak, Al-Quran akan berkata: "Wahai Tuhan, pakaikanlah dia dengan pakaian yang baik lagi baru." Maka orang tersebut diberikan mahkota kehormatan. Al-Quran berkata lagi: "Wahai Tuhan tambahlah pakaiannya." Maka orang itu diberi pakaian kehormatannya. Al-Quran lalu berkata lagi, "Wahai Tuhan, redhailah dia." Maka kepadanya dikatakan; "Bacalah dan naiklah." Dan untuk setiap ayat, ia diberi tambahan satu kebajikan."

10. Hafal Al-Quran merupakan bekalan paling baik

Sabda Rasulullah S.A.W:
Daripada Jabir Bin Nufair R.A., katanya Rasulullah S.A.W. bersabda: "Sesungguhnya kamu tidak akan kembali menghadap Allah dengan membawa sesuatu yang paling baik daripada sesuatu yang berasal daripada-Nya iaitu Al Quran."

11. Orang tua memperolehi pahala khusus jika anaknya penghafal Al-Quran

Sabda Rasulullah S.A.W:
Daripada Buraidah Al Aslami R.A., ia berkata bahawasanya ia mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: "Pada hari kiamat nanti, Al-Quran akan menemui penghafalnya ketika penghafal itu keluar dari kuburnya. Al-Quran akan berwujud seseorang dan ia bertanya kepada penghafalnya: "Apakah anda mengenalku?" Penghafal tadi menjawab: "Saya tidak mengenal kamu." Al-Quran berkata; "Saya adalah kawanmu, Al-Quran yang membuatmu kehausan di tengah hari yang panas dan membuatmu tidak tidur pada malam hari. Sesungguhnya setiap pedagang akan mendapat keuntungan di belakang dagangannya dan kamu pada hari ini di belakang semua dagangan. Maka penghafal Al-Quran tadi diberi kekuasaan di tangan kanannya dan diberi kekekalan ditangan kirinya, serta di atas kepalanya dipasang mahkota perkasa. Sedang kedua orang tuanya diberi dua pakaian baru lagi bagus yang harganya tidak dapat dibayar oleh penghuni dunia keseluruhannya. Kedua orang tua itu lalu bertanya: "Kenapa kami diberi dengan pakaian begini?". Kemudian dijawab: "Kerana anakmu hafal Al-Quran." Kemudian kepada penghafal Al Quran tadi diperintahkan, "Bacalah dan naiklah ketingkat-tingkat Syurga dan kamar-kamarnya." Maka ia pun terus naik selagi ia tetap membaca, baik bacaan itu cepat atau perlahan (tartil)"

12. Akan menepati kelas tertinggi di dalam Syurga

Sabda Rasulullah S.A.W:
Daripada Sisyah R.A, ia berkata bahawasanya Rasulullah S.A.W. bersabda: "Jumlah tingkatan-tingkatan syurga sama dengan jumlah ayat-ayat Al-Quran. Maka tingkatan syurga yang dimasuki oleh penghafal Al-Quran adalah tingkatan yang paling atas, di mana tidak ada tingkatan lagi sesudah itu."