Kejahilan Mereka , Aset Kita
 Mungkin  ramai diantara kita yang merasai menjadi muslim kerana faktor keturunan.  Namun pernahkah kita terfikir adakah kita mengamalkan cara hidup islam?  Adakah kita selalu bermuhasabah dan bertanya pada diri kita sendiri  "Adakah aku seorang individu muslim yang baik?" Tapi pasti ramai  diantara kita lebih memilih untuk terus khayal dengan cinta manusia yang  merosakkan, atau kita lebih memilih untuk berfikir soal hidup daripada  mati. Akhirnya kita menjadi manusia yang jauh dari Ilmu Allah dan  tersungkur di lembah kejahilan yang penuh nista. Persoalannya kini,  siapakah yang akan menyelamatkan mereka yang hidup dalam dunia  bergelumang dosa dan jahil tentang hakikat kehidupan di dunia ini? 
 Firman Allah:
 "Tidak Aku ciptakan jin dan Manusia melainkan hanya untuk beribadah kepada-Ku."
(Surah Adz -Dzariyat, 56)
(Surah Adz -Dzariyat, 56)
 Hidup ini  sebuah perjuangan, dan perjuangan untuk membebaskan saudara seislam kita  dari kejahilan merupakan satu jihad yang sangat mulia. Adakah Allah  anugerahkan ilmu kepada insan-insan yang fakeh tentang islam hanya  bertujuan untuk mengauli "kaki-kaki masjid dan surau"? Adakah ilmu Allah  ini terpilih kepada mereka yang mahukan islam ? Ilmu Allah itu tiada  batasnya. Menjadi tanggunjawab kita sebagai seorang muslim yang Allah  kurniakan sedikit ilmu untuk mendekati golongan-golongan jahil ini.
 Firman Allah:
  "Siapakah  yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah,  mengerjakan amal yang soleh dan berkata : Sesungguhnya aku termasuk  orang-orang yang berserah diri." (Surah Fussilat : 33) 
 Wahai para  daei, adakah daqwah itu hanya semata-mata kalian mengajak mereka yang  hanya mahukan islam dan tidak menyantuni mereka yang jauh dari Islam?  Adakah ilmu kamu terlalu suci sehingga kamu merasakan terhina apabila  berkongsi ilmu dengan penjahil-penjahil ini ? Kenapa kalian tinggalkan  penjahil-penjahil ini jauh dibelakang? Mengapa apabila kalian melintasi  mereka hanya pandangan sinis yang kalian lontarkan? Adakah  penjahil-penjahil ini tiada nilai di sisi Allah? Muhasabah wahai para  daei, mujahid dan mujahiddah. Tegar kamu membiarkan saudaramu sedemikian  rupa? Terlalu hinakah mereka? Adakah uslub daqwah yang kalian gunakan  hanya semata-mata untuk insan yang kalian sangka baik? Jika kamu  berfikir sedemikian rupa, betapa kita kini mempunyai para daei yang  tiada jiwa ummah. 
 Percayalah, setiap insan yang Allah ciptakan itu punya nilai disisi Allah. Kejahilan Mereka adalah Aset Kita. 
 
 
 
 
 
